Remaja 20 tahun tertekan alami masalah bulu lebat di muka, dagu
Soalan: Assalamualaikum . Saya gadis berusia 20 tahun dan untuk pengetahuan doktor, saya mengalami pertumbuhan bulu roma yang berlebihan di sekitar muka, atas bibir dan dagu. Keadaan ini menyebabkan saya seperti bermisai dan janggut. Saya mencukur misai dan kawasan dagu kerana malu dengan keadaan diri ini.
Pernah terfikir untuk melakukan tindakan lebih buruk seperti menamatkan riwayat diri ini namun keluarga saya menyuruh saya menerima ketentuan takdir. Kawan saya pernah mengesyorkan pil perancang kerana pil ini dapat mengurangkan pertumbuhan bulu roma. Apakah ubat yang perlu saya ambil dan rawatan apakah yang sesuai untuk saya jalani. Saya amat tertekan dengan masalah saya ini.
Shida, Taiping, Perak.
Jawapan: Walaikumsalam saudari Shida. Terlebih dulu, salam simpati saya dan diiringi nasihat, janganlah berfikiran singkat dengan memikirkan perkara di luar batasan sehinggakan mahu membunuh diri.
Daripada sudut perubatan, apa yang saudari alami adalah hirsutism. Ia merujuk keadaan atau masalah yang mana seseorang wanita itu mengalami pertumbuhan bulu-bulu atau rerambut tebal dan kasar secara berlebihan di tempat yang kurang sesuai dari segi kosmetik. Contohnya di atas bibir, bawah dagu, di dada dan puting, perut dan sebagainya.
Mereka juga mempunyai masalah kulit berminyak serta berjerawat. Masalah hirsutisma ini bermula dari akil baligh dan menjadi lebih ketara apabila usia semakin meningkat. Bagaimanapun, masalah hirsutisma mestilah dibezakan daripada hirsutima yang bersifat keturunan.
Ada beberapa bangsa atau kaum di Malaysia ini yang cenderung kepada hirsutisma. Mereka ini adalah normal kerana ia faktor genetik.
Hirsutisma ini berpunca daripada hormon lelaki yang dikenali sebagai androgen. Semua wanita mempunyai kadar androgen yang rendah. Jika seseorang mempunyai masalah hirsutisma maka kemungkinan badan mereka menghasilkan hormon androgen yang berlebihan atau folikel-folikel rambut atau bulu yang terlebih sensitif kepada androgen daripada biasa.
Bagi wanita, paras hormon yang tinggi dikaitkan dengan keadaan yang di panggil Sindrom Ovari Polisistik (PCOS). Selain masalah hirsutisma, mereka juga mengalami masalah lain seperti jerawat, haid tidak normal, obesiti dan kesuburan.
Perlu diingat, hirsutisma juga adalah gejala penyakit-penyakit lain seperti Sindrom Cushing, ‘Congenital adrenal Hyperplasia’ dan ubatan seperti Danazol, steroid dan sodium valproate. Perlu saudari ketahui, bahawa majoriti masalah ini tidak diketahui puncanya. Justeru, beberapa ujian seperti darah dan ultrasound perlu dilakukan.
Rawatannya bergantung kepada punca hirsutisma ini. Jika seseorang itu mengalami obesiti, tindakan atau langkah menurunkan berat badan dapat mengurangkan hormon androgen. Ada beberapa cara bagi membuang bulu-bulu atau rambut yang berlebihan seperti bercukur, krim depilatori, mencabut, elektrolisis dan laser.
Bagi saya, kaedah elektrolisis dan laser adalah yang terbaik. Walaupun ia tidak bersifat kekal tetapi jika bulu ini tumbuh semula ia akan mengambil masa yang lebih lama.
Ada beberapa ubat yang boleh digunakan antaranya anti-androgen seperti cyproterone acetate, spironolactone dan finasteride yang berfungsi dengan menyekat tindakan hormon androgen. Ia mengambil masa enam bulan untuk menampakkan kesannya. Ubat anti-androgen ini dapat memperlahankan pertumbuhan bulu-bulu dan menjadikannya lebih halus. Cyproterone acetate boleh didapati dalam pil perancang keluarga yang di panggil DIANE. Bagaimanapun, saudari perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan pil ini.
Metformin iaitu ubat kencing manis juga digunakan jika hirsutisma berpunca daripada PCOS. Sehubungan itu, saya cadangkan saudari berjumpa doktor bagi penyiasatan dan rawatan masalah saudari.
Sumber ;-homefamilysite
Post a Comment